Sepak raga merupakan sejenis permainan yang menggunakan bola
rotan. Ia telah wujud sejak 600 tahun dahulu pada Zaman Kesultanan
Melaka pada abad ke-15 M. Ia bertujuan untuk menguji kecekapan permain
untuk menyepak, menanduk, mendada atau melutut bola raga dan
menghalangnya daripada jatuh ke tanah.[1]
Pada masa ini sepak raga dimainkan apabila ketiadaan jaring. Sepak raga dimainkan dalam bulatan, manakala sepak takraw
mengadukan dua pasukan yang dipisahkan oleh jaring, menggunakan
gelanggang seperti dalam permainan badminton. Sepak raga juga telah
digantikan dengan bola lain sekiranya ketiadaan bola takraw, dikenali
sebagai menimang bola dalam bulatan.
Sejarah
Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka,
selain dimainkan oleh golongan bangsawan, rakyat jelata juga menggemari
permainan ini. Dalam sejarah Melayu menceritakan tentang Raja Muhammad,
putera Sultan Mansor Shah Muhammad tertanggal tanjaknya akibat terkena
bola raga tendangan Tun Besar.
Pada alaf ini, permainan sepak takraw adalah amat popular dan di
kenali ramai, bukan sahaja di negara kita bahkan di negara-negara lain.
Sepak takraw yang asalnya dikenali sebagai sepak raga lengkung atau
kandang adalah permainan tradisi pusaka yang dimainkan oleh raja-raja
melayu sejak sebelum tahun 1478 lagi. Asal-usul yang sebenarnya
permainan ini tidak dapat diberikan kerana telah banyak sejarah
termusnah akibat perang dunia kedua. Dengan berlalunya masa dan semakin
meluas minat terhadap permainan ini diseluruh Malaya, maka pada akhir
tahun 1945 satu peraturan baru lagi moden dengan menggunakan jaring
telah diwujudkan oleh pemain-pemain di Pulau Pinang. Dengan terciptanya
cara ini, maka tidak dinafikan lagi bahawa Pulau Pinanglah tempat asal
bermulanya sepak raga menggunakan jaring yang kini dikenali sebagai
sepak takraw. [2]
Bagi mempamerkan buat pertama kalinya cara permainan yang baru ini, di atas usaha diantaranya En. Mohamed bin Abdul Rahman, En. Abdul Hamid Mydin
dan En. Yacob Syed. Maka pada awal tahun 1946 satu permainan
pertunjukkan diantara pasukan Jalan Hatin dan pasukan Patanai Road telah
diadakan di Gelanggang Hospital Haiwan, Pulau Pinang
dengan sambutan yang begitu meriah walaupun di anggap ganjil. Dari
Pulau Pinang dan dalam tahun 1946 juga sepak raga jaring ini telah
merebak ke Alor Star, ke Kampung Baru di Kuala Lumpur dan seterusnya ke Singapura.
Sejak perkembangan tersebut pasukan demi pasukan telah ditubuhkan dan
pada 25 Jun 1960 Persekutuan Sepak Raga Malaya telah dirasmikan di
suatu persidangan yang dipelopori oleh Persatuan Sepak Raga Pulau
Pinang. Persekutuan yang julung-julung kali di tubuhkan ini telah
melantik Y. Bhg Tan Sri Khir Johari sebagai Yang Dipertua. Tindakan
segera telah diambil oleh persekutuan tersebut ialah menggubal dan
menyusun undang-undang sepak raga jaring yang ada pada masa itu oleh
sebuah jawatankuasa kecil yang terdiri daripada wakil-wakil Setiausaha
Agong PSM sekarang.